TRY TO EXPLORE

~mencuba itu sesuatu yang menyeronokkan~

Selasa, 14 Disember 2010

Memikul Buku Yang Berat

Setiap kali ke kedai buku pasti pelbagai buku ilmiah telah bertukar milik dari hak pekedai kepada hak aku. Dalam hati ada bisikan mengatakan tidak mengapa jika berhabis duit untuk buku-buku yang memberi manfaat. Pembaziran membeli buku terjadi pada hematku hanya apabila pelaburan dibuat dengan membeli novel cinta, komik ataupun majalah hiburan yang padaku hanya memberi kepuasan pada nafsu tanpa memberi pengisian pada jiwa. Lainlah jika novel yang dibaca tiada kaitan dengan dunia percintaan yang selalunya menjadi daya penarik muda mudi. Contohnya, Detektif Indigo karangan Faisal Tehrani dan hakikatnya sudah ramai penulis melahirkan bahan bacaan fiksyen yang menjana minda tetapi semuanya masih terpulang pada diri kita sama ada hendak memilih genre yang memberi hiburan pada sang hawa nafsu atau sang rohani.

Penukaran hak milik buku bukan suatu kepelikan tetapi yang menjadi kepelikan apabila buku yang digendong dari kedai dalam beg plastik dikeluarkan pabila sampai di rumah dan disimpan elok-elok di atas rak. Disusun cantik-cantik mengikut ketinggian, dan melihat dari jauh sambil memikirkan masa yang sesuai untuk dibaca. Maka jadilah buku ilmiah yang sarat dengan ilmu itu sebagai hiasan di bilik supaya ia memenuhi rak lantas menghasilkan pemandangan yang indah dengan rona warna yang pelbagai sebagai penenang jiwa.

Buku yang dibeli kemudian disimpan ibarat seseorang menggendong sebakul air di belakang badan di tengah padang pasir yang terik. Kerana kepanasan yang dasyat si pembawa air mati kehausan. Sesungguhnya, dibelakang si mati ada sebakul air yang masih banyak kuantitinya. Begitulah buku, sudah tercatat 1001 nasihat, pengajaran, hikmah dan ilmu tetapi disebabkan kita tangguh pembacaannya, maka rugilah kita selama mana buku tersebut tidak dibaca. Jika buku tersebut menceritakan kebaikan sedekah, kerana kita baca 10 tahun selepas membelinya dan mempraktikkan amalan tersebut setelah menelaahnya, maka rugilah kita kerana tidak bersedekah selama 10 tahun yang lalu itu. Samalah kita seperti keldai yang membawa kitab yang berat.

مَثَلُ ٱلَّذِينَ حُمِّلُواْ ٱلتَّوۡرَٮٰةَ ثُمَّ لَمۡ يَحۡمِلُوهَا كَمَثَلِ ٱلۡحِمَارِ يَحۡمِلُ أَسۡفَارَۢا‌ۚ بِئۡسَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ‌ۚ وَٱللَّهُ لَا يَہۡدِى ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ

" (Sifat-sifat Nabi Muhammad itu telah pun diterangkan dalam Kitab Taurat tetapi orang-orang Yahudi tidak juga mempercayainya, maka) bandingan orang- orang (Yahudi) yang ditanggungkan dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungan dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul bendela Kitab-kitab yang besar (sedang ia tidak menegtahui kandungannya). Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah) Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.
(Surah Al-Jumu'ah, 62 : 5)


------------------

Lebih dasyat apabila semester baru bermula, aku berlumba-lumba mendapatkan buku rujukan, tidak kisahlah dari perpustakaan, kedai buku ataupun sahabat-sahabat, tetapi nasib buku tersebut sama sahaja dengan buku-buku lain, mungkin sedikit beruntung kerana akan dibuka pabila nota tidak memberikan kefahaman yang jelas pada si pembaca. Maka, adakah pelaburan yang dibuat pelaburan yang menguntungkan? Rugikah pula jika tidak membelinya? Tepuk dada tanya iman.


Rehat Minda :

Pada suatu hari seorang pelajar membeli buku daripada ustaznya.

Pelajar : Ustaz, saya beli buku banyak-banyak ni kadang-kadang tak terbaca.

Ustaz : Lepas dapat buku ni, sebelum simpan dalam rak, tulis kat muka surat pertama buku tu macam ni :

" Buku ini aku wasiatkan kepada anak dan cucuku, bacalah ia kerana ia pasti memberi banyak manfaat kepada kamu semua. Emak/ Nenek tak sempat nak baca sebab buku ni tebal sangat dan waktu singkat."

Moral : Ketebalan dan masa bukan penghalang untuk kita membaca, yang menjadi penghalang ialah MALAS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan