Assalamualaikum.
Ini adalah coretan hidupku untuk aku muhasabah. Aku yang tidak pernah lari dari membuat dosa, aku yang selalu alpa, aku yang selalu merungut dengan kemudahan yang ada.
Bermula hari semalam, aku telah pun mengikuti pengajian sebagai pelajar farmasi. Subhanallah, jadualnya amatlah padat dari jam 8 pagi hingga 6 petang. Kediaman dan tempat kuliyahnya pula, Subhanallah.
Walaupun jaraknya jauh, aku masih lagi dibekalkan kaki yang sihat untuk berjalan. Tiada apa yang perlu dirungutkan. Walaupun panas membahang tetapi itu lebih baik dari mati kesejukan.
Memang aku patut bersyukur, walaupun laptop aku banyak kekurangan, tiada sound device, virus yang selalu bertandang tetapi itu lebih baik bukan daripada tiada. Masih ada sahabat yang tiada kemudahan ini padahal nota yang yang dibekalkan semuanya dalam bentuk lembut (soft copy). Betullah apa yang Allah wahyukan kepada Nabi tercinta, Muhammad S.A.W. yang disampaikan kepada kita,
"maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu yang kamu hendak dustakan?" (Surah Ar-Rahman)
Jadilah orang yang qanaah(berpada-pada) dalam setiap perkara. Orang qanaah itu bersyukur dengan segala nikmat. Orang tamak pula selalu berkata itu dan ini apabila nikmat diberikan. Tidak pernah merasa cukup.
Syukurlah wahai diri. Syukurlah kerana lebih ramai yang menderita kerana ketamakan diri ini. Lebih ramai yang tidak berpeluang tidur di atas katil yang kamu miliki, lebih ramai yang masih menanti untuk belajar di sini, lebih ramai yang masih belum memiliki apa yang telah kamu miliki.
Berhenti merungut walaupun itu bukan kehendak hati. Berhenti berkata itu dan ini kerana takut ia akan jadi tradisi diri.
Syukur. Syukur. Syukur.
Ya Allah, jadikan kami hamba yang bersyukur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan